Sedetik Cinta Semalam


Hati maksudkan lain. Mulut bicarakan yang lain dan kepala fikirkan yang lain. Mungkin itu fitrah kejadian manusia yang pelbagai emosi. Marah, gembira, sedih, terluka dan bermacam-macam lagi perasaan yang diuli menjadi satu adunan kemurungan. Itulah yang aku alami sekarang, dilema diri. Wanita yang dalam dilema.

“Weiii...apa hal kau asyik termenung ni?”. Amira menepuk bahu ku dari arah belakang.

“Uikss...terkejut aku. Tak ada apalah. Masalah emosi dalaman. Aku sedang fikirkan cara untuk meneutralkan diri kembali ke asal”.

“Erkk...apa lah yang kau mengarut ni. Makin lama aku layan kau ni makin biul aku dibuatnya”.

“Dah tahu jangan layan Cik Mira oiiii....”.

Mira mencebik bibir, tak puas hati dengan respon yang aku berikan. Ahh...lantak lah. Apa yang lebih penting masalah yang masih belum terurai dalam bentuk molekul-molekul yang dah mula meresap masuk dalam sel-sel saraf kepala otak aku ni.

Huhh...mengeluh yang tak tahu ke berapa kalinya. Ini lah aku. Bila dilanda masalah, sifat aku adalah termenung dan mengeluh. Kalau mak kat kampung tahu anak dara dia macam ni confirm aku dah kena bebel tahap gaban. Alahaii...pecah gegendang telinga aku.

Berbalik kepada persoalan pokok masalah aku tadi. Kenapa dia buat aku macam ni?

“Akil rasa lebih baik kita putus. Alin tak pernah dapat sesuaikan diri Alin dengan Akil. So better both of us end this relation before it’s getting worse”.

...end this relation before it’s getting worse...terngiang-ngiang ayat tu dalam kepala otak aku. Aku pandang cermin. Tak ada apa pun cacatnya, sama juga macam perempuan lain. Jadi  apa yang Akil maksudkan dengan ayat dia tu?

Ahh...makin aku fikir makin serabut. Baik aku pergi tidur, esok pagi-pagi dah nak pergi kerja.

Alin terus berlalu ke katilnya,tanpa sedar lenanya mudah saja menjengah. Malam pun berlalu sepi.

********

“Alin...apa hal kau ni? Serabai. Macam orang mati laki je aku tengok”. Suraya menegur.

Adeshh...ni seorang lagi. Malam tadi Mira, sekarang ni Suraya pula. Apa lah yang tak kena pula pagi ni. Alin mengeluh.

“Erkk...apa nya? Tak ada apa lah. Aku ok je. Bersemangat lagi. Mati laki apanya, laki pun tak ada”. Alin membalas.

“Habis aku tengok kau pakai baju colour lain, kain colour lain. Tudung tak payah cakap lah, macam-macam colour ada. Akil tinggalkan kau ke?”. Suraya menambah.

Hahh...biar betul si Suraya ni. Cepat-cepat aku tengok diri aku kat cermin. Sekali pandang, ok je tak ada apa pun. Dua kali pandang alamakk...kenapa dengan aku ni? Adoyaii...malunya. macam mana boleh tersalah pakai ni, malam tadi aku gosok sama je colournya. Spoiltt...

Suraya tergelak-gelak,ketawakan aku. Staff-staff lain apa lagi, ada yang menggeleng-geleng kepala. Nur Azlyn Dania...apa yang dah jadi dengan kau ni. Aku termangu sendiri. Apa nak buat, perkara dah berlaku. Yakinkan diri, buat seperti tak ada apa-apa.

“Suka nampak? Apa yang kelakar sangat?”. Aku tahan rasa marah. Suraya hanya tersengeh.

“Betul kan Akil tinggalkan kau?”. Suraya masih berusaha nak tahu cerita.

“Ha ah, semalam aku break off dengan dia. So?”. Aku buat muka selamba.

“Kenapa?”. Suraya masih tak puas hati.

“Mana lah aku tahu. No reason yang kukuh. Dia just mention yang kami berdua tak serasi lagi. Tu je”. Jawab ku acuh tak acuh.

“Aikk...tak kan tu je. Tak ada sebab-sebab lain?”.

“Lain-lain sebab tak ada. Kalau kau nak tahu lebih lanjut pergi lah tanya dia. Nombor telefon dia pun aku ada, kalau kau nak”. Aku dah mula rimas.

“Kenapa tak pertahankan hubungan kau dengan Akil?”. Soal Suraya bertalu-talu.

“Dah orang tak nak, takkan aku nak paksa orang terima aku pula. Merayu-rayu. Ohh...sesekali tidak. Aku pun ada harga diri”. Suraya mencebik.

“Kau rasa Akil ada perempuan lain tak?”.

“Aku tak tahu lah. Boleh tak kau jangan tanya-tanya lagi pasal dia. Serabut. Aku banyak kerja ni”. Aku mula hilang sabar. Suhu kepanasan dah tahap maksimum. Tunggu masa nak meletup.

“Ok...ok...kau rileks ye”. Suraya tersengeh. Bangun dan terus berlalu ke tempat duduknya.

Alin bengang. Akil? Ahh...sebab kau lah hari ni aku jadi huru hara. Hari yang menyesakkan.

Alin baru saja hendak memulakan kerja, tiba-tiba interkomnya berbunyi...

“Dania...tolong masuk ke bilik saya sekarang?”. Arah Azril tegas.

“Baik Encik Azril, saya datang sekarang”.

Dengan malas Alin bangun ke pintu yang tertera nama Azril Budiman bin Azman, Managing Director.

“Ya...masuk”. Arah  Azril. Kedengaran ketukan pintu dari luar.

“Ada apa Encik Azril panggil saya?”. Sambil berdiri Alin bertanya.

Sebaik saja Azril mendongak memandang empunya suara, dia seolah-olah terkedu. Nak ketawa pun ada tapi tak mahu ada hati yang terguris. Azril mendiamkan diri.

Alin perasan ada pandangan kurang senang dari bos nya. Tapi buat-buat tak nampak. Jangan lah dia tegur apa-apa lagi. Aku dah tak sanggup nak dengar. Alin berdoa dalam hati.

“Awak dah makan?”. Azril bertanya.

Erkk..biar betul ni. Bos tanya aku dah makan ke belum? Wahh...so sweet. Aku senyum sendiri.

“Haloo... saya tanya awak ni. Awak dah makan ke belum? Berkhayal. Apa yang awak angan kan? Ada putera raja datang nak pinang awak ye?”. Perli Azril. Wajah Alin merona merah apabila disergah begitu.

“Err...err...tak lah bos. Mana ada putera raja nak kan saya ni bos. Saya ni layak dayang je . Tapi tak tahu lah kalau bos lah putera raja tu. Macam cerita dongeng Cinderella tu”. Alin buat muka selamba.

Azril berdehem dua,tiga kali. Ehh...ehh...minah ni, biar betul. Aku pinang betul-betul nanti baru kau tahu. Tapi tak salah kalau aku jadikan dia calon isteri aku, sekurang-kurangnya ibu tak membebel minta aku carikan dia menantu.

“Dah...dah...jangan nak mengarut. Saya cuma tanya awak dah makan ke belum? Yang awak menyimpang jauh tu kenapa?”. Azril buat muka serius. Hubungan antara bos dan pekerja mesti dijaga.

“Belum lagi bos. Kenapa? Bos nak belanja ke?” Tanya Alin teruja.

“Dah...jom, ikut saya”. Arah Azril lagi.

“Ke mana bos? Alin masih lagi menyoal.

“Awak ikut je lah. Saya bukan nak culik awak pun. Boleh tak awak jangan banyak mulut. Bila saya kata ikut, ikut je lah”. Azril mula rimas.

Alin mengekori Azril dari belakang. Yang pasti semua staff memandang ke arahnya seolah-olah aku adalah pesalah hukuman gantung sampai mati. Tak kurang juga yang mencebik. Aku yang ala-ala bibik ni nak digandingkan dengan bos Inspira Prima Holdings? Huh...jauh panggang dari api.

Sepanjang perjalanan, Alin hanya  mendiamkan diri. Azril pun begitu. Sedar-sedar Azril dah pun memakirkan keretanya di dalam garaj sebuah banglo mewah. Alin tercengang. Biar betul mamat ni, rumah siapa pula yang dia bawa aku ni? Dalam hati Alin mengomel.

“Dah sampai. Jom masuk”. Azril mengarah. Namun Alin masih lagi berdiri tercegat di sisi kereta. Azril menoleh ke belakang apabila menyedari gadis itu tidak mengekorinya.

“Apa lagi yang awak terpacak kat situ. Kan saya suruh masuk”. Keras nada suara Azril.

“Erm...bos. Tak apalah bos. Bos ajelah yang masuk. Biar saya tunggu kat luar ye...ye...”. Balas Alin sambil tersengih.

“Nak tunggu apanya. Dah tentulah awak perlu masuk dengan saya. Dah...ikut saya”. Sekali lagi Azril mengarah. Kelam kabut Alin mengekori Azril masuk ke dalam rumah.

Diikuti dengan langkah kanan Alin masuk ke dalam rumah namun secara tiba-tiba dia memusingkan badannya kembali. Azril terkejut. Bengang.

“Alin...awak ke mana tu?”. Panggil Azril separuh menjerit.

Alin tergamam. Langkahnya mati. Dengan perlahan badannya diarahkan menghala ke arah empunya suara.

“Maaf bos. Saya tunggu kat luar je lah. Jangan risau saya tunggu bos. Lama pun tak apa”. Sambil tersengih Alin memberitahu.

“Awak jangan nak mengada-ngada. Saya tak ada masa nak melayan kerenah mengarut awak tu”. Lengan Alin dipaut kasar, diheret masuk ke dalam rumah.

“Apa yang riuh-riuh tu Budi?”. Puan Rahimah bertanya. Azril dan Alin menoleh serentak.

“Siapa lagi? Bakal menantu mama ni lah. Entah apa yang ditakutkan agaknya. Nak ajak masuk pun susah”. Azril membebel sendiri.

Bakal menantu? Biar betul bos aku ni. Bila pula aku jadi girlfreind dia. Alin bingung.

Puan Rahimah tersenyum. Pandangannya dialih ke arah Alin. Cantik. Walaupun pakaiannya agak pelik tapi itu bukan lah satu masalah besar baginya. Yang penting anak lelaki tunggalnya bakal menamatkan zaman bujangnya tidak lama lagi. Hatinya gembira.

Alin menyalami Puan Rahimah lalu mencium belakang tangan wanita itu. “Apa khabar puan?”. Tutur Alin dengan nada suara yang lembut. Sejuk hati Puan Rahimah apabila mendengarnya.

“Alhamdulillah, baik. Alin?”. Puan Rahimah bertanya kembali. Alin sekadar menganggukkan kepala.

“Tak perlu berpuan-puan dengan mama. Panggil je mama. Tak lama lagi Alin kan bakal menjadi isteri Budi juga bakal menantu mama”. Alin terkejut. Wajahnya tercari-cari kelibat Azril namun tiada. Hatinya sebal. Apa pula yang akan berlaku selepas ini? Fikirnya berkali-kali.

*******

“Boleh saya tahu? Permainan apa yang cuba Encik Azril rencanakan sekarang?”. Alin bertanya dengan suara yang serius. Hatinya runsing memikirkan perbualan dengan Puan Rahimah di rumahnya tadi. Tentang perasaannya terhadap Azril? Tentang keluarganya? Tentang perkahwinan? Kepalanya benar-benar serabut.

Azril hanya diam membisu. Salahnya juga kerana tidak memaklumkan kepada gadis itu lebih awal. Jikalau diberitahu sekali pun, apakah gadis itu akan setuju? Adakah Alin akan menerimanya?

“Kenapa diam? Selalunya orang yang diam ni dia bersalah”. Omel Alin lagi. Azril mengeluh. Alin dapat merasakannya.

“Sorry dear. It’s was my fault. Memang salah abang sebab tak beritahu Dania awal-awal. Forgive me”. Jawab Azril dengan suara yang lembut. Sekali lagi Alin terkejut.

Abang? Apa ke gilanya bos aku ni. Detik hatinya. Sejak dari rumah tadi dirinya asyik dikejutkan dengan perkara yang tidak-tidak. Azril seolah-olah mempermainkan perasaannya. Benci sungguh.  

“Dania sayang...”. Azril memanggilnya. Namun tidak dihiraukan. Tiba-tiba ada tangan kasar yang menggenggam jari jemarinya. Alin kaku. Perlahan-lahan Azril mengulas lembut. Ada debar yang bermukim di hatinya kini. Alin memejamkan mata.

Ditariknya jari jemari Alin ke bibir. Alin terpana. Dengan kasar Alin menarik tangannya kembali. Azril menoleh. Matanya beralih semula ke hadapan. Dadanya turut merasakan apa yang dirasakan oleh Alin.

Dalam hati Azril nekad. Dia tidak akan sesekali melepaskan gadis yang telah berjaya mengetuk pintu hatinya. Gadis yang didambakan secara diam. Malah secara senyap-senyap juga dia merancang perkenalan Alin dengan mamanya, Puan Rahimah. Dengan restu yang diberikan Azril percaya Alin adalah jodoh yang terbaik buatnya. Isteri dan juga bakal ibu kepada anak-anaknya kelak.

Azril tersenyum sendiri. Angan-angannya melayang entah ke mana. Sesekali dapat dilihat kegembiraan yang terpancar di wajahnya. Alin merenung. Apakah benar dia jodoh untuk aku? Tapi kenapa tiba-tiba? Alin buntu. Kedengaran keluhan kecil dari bibirnya.

Puan Rahimah meletakkan harapan yang tinggi kepadanya. Apakah mungkin dia mampu menunaikan tanggungjawab itu? Terasa kerdil dirinya jika dibandingkan dengan Azril. Pasti ada-ada saja mata-mata yang memandang serong padanya nanti. Rupa sudah lah tiada, harta jauh sekali. Alin kembali mengeluh.

“Tak baik selalu mengeluh. Seolah-olah kita tak redha dengan apa yang ditakdirkan ke atas kita”. Azril bersuara.

Alin memandang ke arah Azril. Cuba mencari keikhlasan di wajah itu. “Kenapa pandang abang macam tu? Abang tahu lah abang ni handsome kan. Mesti buat sayang tak tidur malam”. Azril menyakat. Sengaja didera perasaan Alin.

Alin mencebik. “Jangan nak perasan ya. Cermin lah diri tu dulu. Suka-suka cakap kita ni bakal isteri dia”. Alin menjuihkan bibirnya. Tawanya cuba ditahan.

Senyuman halus di wajah Alin dapat dilihat dengan jelas. “Ni kenapa senyum-senyum? Suka ya dapat kahwin dengan abang?”. Sekali lagi Azril cuba menduga isi hatinya. Senyuman Alin mati tiba-tiba.

“Maaf Encik Azril, berilah saya masa masa untuk fikirkan perkara ni. Semuanya agak tergesa-gesa. Saya harap Encik Azril faham”. Jelas Alin. Kepalanya ditundukkan. Resah untuk melihat riak di wajah Azril. Takut nanti hatinya akan berubah.

“Tak apa. Abang faham. Abang harap keputusan sayang nanti akan berpihak kepada abang”. Jawab Azril dengan peuh yakin. Jauh di sudut hatinya, hati gadis itu akan lembut jua untuk menerima dirinya.

Alin kembali membeku. Azril turut melayan perasaannya sendiri. Sudahnya masing-masing hanya mengunci mulut. Itu lebih baik dari menyulitkan lagi keadaan. Azril tidak mahu Alin menerima dirinya kerana terpaksa. Biarlah dengan seikhlas hatinya.

********

Alin termenung panjang. Kerja-kerja yang sedia menanti di atas meja langsung dihiraukan. Fikiran melayang memikirkan apa yang berlaku semalam. Memikirkan permintaan Puan Rahimah terhadapnya.

“Ooi...kenapa kau? Termenung je dari tadi aku tengok”. Suraya menjerkah. Alin terkejut. Diurut dadanya berkali-kali.

“Ishh...kau kenapa? Buat terperanjat aku je lah”. Marah Alin.

“Eh...eh...kita tanya dia, dia tanya kita pula”. Suraya membalas.

“Aku tanya, kau kenapa?”. Soalan yang sama diajukan Suraya.

“Aku ok lah. Tak ada apa-apa yang pelik pun, biasa je”. Jawab Alin dengan muka selamba.

“Huhuhu...sekilas itik di kolam, aku dah tahu lah jantan betina nya lah”. Suraya tersengih sumbing.

Erkk...minah ni nak berkias-kias pula. Nak je aku ketuk kepalanya. Bukan nak menyelesaikan masalah, nak menambahkan kusut kepala aku lagi ada lah. Alin merengus.

“Aku tahu lah, ni mesti kes Akil nak rujuk semula dengan kau kan”. Tanya Suraya ingin tahu.

Ya Allah Ya Tuhanku, kenapa lah aku dapat kawan serabut macam ni. Suka jadi penyibuk. Alin bertambah bengang. Sengaja ditunjukkan di hadapan Suraya.

“Rujuk apa nya. Tak nak aku berdamai dengan orang macam tu. Menambahkan luka kat hati aku ni ada lah”. Balas Alin dengan mimik muka meluat.

“Hehehe...dah tu apa masalahnya?”.

“Masalahnya...aku...aku...alahai tak tahu lah aku nak beritahu kau macam mana. Apa yang pasti masalah ni memang besar. Soal hidup dan mati”. Suraya tergamam.

“Eh...kau biar betul. Apa hal pula lah sampai nak mati bagai. Ish...tak fahamlah aku”. Suraya menggeleng kepalanya berkali-kali.

“Hah...tu lah kau. Kau tak kan faham lah even aku cerita sekali pun. Jadi tak perlu jadi penyibuk ye”. Alin menjawab.

Suraya menjuihkan bibirnya. Tak apa suatu hari nanti kau akan ceritakan juga pada aku. Ada ubi ada batas. We will see. Detak Suraya dalam hati. Suraya memusingkan badannya untuk menjauh dari tempat duduk Alin, tiba-tiba langkahnya mati. Suraya menoleh kembali ke arah Alin.

“Weiii...apa beruk tu buat kat sini?”. Suraya bertanya. Matanya dapat menangkap susuk tubuh yang amat dikenali. Akil.

“Beruk? Mana beruk?”. Tanya Alin kembali. Kepalanya tercari-cari empunya diri yang dimaksudkan oleh Suraya.

“Tu...kat kaunter. Siapa lagi kalau bukan duda kau”. Tunjuk Suraya sambil ketawa kecil. Dia terus berlalu meninggalkan Alin sendirian.

Alin melihat ke arah yang ditunjukkan oleh Suraya. Akil. Apa pula lah mamat ni buat kat sini? Kepalanya kembali serabut. Hal yang tadi pun tak selesai lagi, ditambah pula dengan satu lagi masalah. Nur Azlyn Dania, tabahkan diri kau. Pujuk suara hatinya.

“Hai...sayang? Sihat? Lama tak jumpa U. I rindu lah”. Ucap Akil dengan lenggok bahasa yang menggoda.

“Ada apa U datang sini?”. Tanya Alin dengan nada suara yang sengaja dikeraskan.

“Aikk...datang nak tengok buah hati I pun tak boleh ke?”. Akil mengenyitkan matanya.

Alin terkejut. Hatinya bertambah sakit. Akil betul-betul menguji kesabarannya.

“Baik U pergi dari sini sebelum I panggilkan security guard”. Alin memberi amaran.

“Tak baik halau. I datang dengan niat baik, nak ajak U keluar lunch. Jom?”. Ajak Akil seperti orang tak bersalah. Alin semakin meluat.

“Memang tak salah. Yang salahnya saudara ajak tunangan orang”. Tiba-tiba Azril datang menghampiri ke arah mereka. Akil termangu sendiri.

“Tunang? Siapa yang bertunang?”. Akil bertanya sambil memandang ke arah Alin untuk mendapatkan kepastian.

“Untuk pengetahuan saudara, Cik Nur Azlyn Dania ni adalah tunang saya dan bakal menjadi isteri saya”. Jelas Azril panjang lebar. Alin hanya tunduk memandang lantai. Sudahnya Akil terus melangkah dengan perasaan yang sebal. Datang tidak diundang, perginya tidak berhalau.

Azril menghampiri Alin secara dekat. Alin cuba melangkah setapak ke belakang namun lengannya cepat-cepat dipaut oleh Azril. Langkahnya mati.

“Macam mana hal kita semalam?”. Tanya Azril seakan berbisik. Dekat di cuping telinganya.

Alin hanya diam tidak menjawab. Lama keadaan mereka sebegitu. Alin takut untuk mengangkat wajahnya. Wajah Azril dirasakan begitu hampir dengan wajahnya. Sebetulnya Alin takut untuk bertentang mata dengan Azril. Dapat dirasakan Azril mula mendapat tempat di dalam hatinya.

“Kenapa diam? Abang tanya kan, jadi sayang perlu jawab soalan abang”. Pinta Azril dengan nada suara yang lembut. Alin masih lagi menunjukkan wajahnya. Azril mula hilang sabar. Penantian itu suatu penyeksaan baginya.

“Tak apa lah kalau macam tu. Abang anggap the answer is no. Maafkan abang jikalau abang dah mengganggu emosi sayang”. Rasa kecewa mula menapak dalam hatinya. Biar pun pedih namun dia perlu menerima hakikat. Soal hati tidak boleh dipaksa. Begitu juga rasa cinta.

Badannya dikalih membelakangkan Alin. Saat kakinya ingin melangkah, terasa jari jemarinya dipaut lembut. Azril menoleh. Dapat dilihat senyuman di wajah Alin. Ikhlas. Azril mula keliru.

“Semalaman saya berfikir. Mungkin ianya terlalu awal. Sebenarnya...sebenarnya...saya...saya...”. Alin tergagap-gagap. Lidahnya kelu walaupun hanya untuk tiga patah perkataan.

“Sebenarnya sayang juga cintakan abang seperti mana abang cintakan sayang bukan?”. Jawab Azril bagi pihak Alin. Alin hanya tersenyum sambil menganggukkan kepalanya. Azril pun begitu. Diraih jari jemari Alin ke bibirnya. Azril mengucupnya mesra. Alin tersipu malu.

“Terima kasih sayang. Terima kasih kerana dapat menerima diri abang dengan sepenuh hati sayang. Abang berjanji tidak akan sesekali menyakitkan hati sayang. Abang juga berjanji akan sentiasa menyayangi diri sayang seadanya. Ucap Azril dengan nada yang sungguh romantik”. Angguk Alin perlahan. Hatinya berbunga indah.

Sesungguhnya tiada yang lebih indah melainkan rasa cinta yang hadir buat insan yang disayangi. Walaupun rasa cinta itu hadir untuk seketika namun ia begitu bermakna. Azril dan Alin berpandangan. Tersenyum dengan takdir yang ditentukan olehNya.

******

Alin melihat wajahnya di cermin. Cantik. Bisik hati kecilnya. Walaupun dengan solekan yang tipis, wajahnya tetap nampak ayu. Hari ini dia dan Azril akan disatukan. Majlis akad nikah serba ringkas tapi meriah. Puan Rahimah lah antara insan yang bersusah-payah merealisaikan majlis pada hari ini.

Alin bersyukur. Bersyukur kerana didampingi oleh insan yang begitu menyayangi dirinya. Azril Budiman. Jejaka yang telah berjaya mengetuk pintu hatinya. Terpatri di situ. Harapannya cuma satu, kasih sayang yang terjalin akan kekal ke akhir hayatnya.

Alin terkejut apabila handphone miliknya berbunyi. “Assalamualaikum...”. Alin menjawab. Namun salamnya tidak bersambut. Kedengaran suara tangisan di hujung talian. Alin resah. Dadanya berdebar-debar.

“Waalaikumussalam...Alin. Mama ni. Budi...Budi...dia terlibat dengan kemalangan. Cedera parah. Dia...dia...Tuhan lebih sayang kan dia Dania”. Dialognya mati di situ. Tidak sanggup rasanya meneruskan kata-kata. Jelas kedengaran tangisan Puan Rahimah berlagu pilu.

Alin terkedu. Fikirannya mati. Tiba-tiba dunia sekelilingnya dirasakan gelap. Alin rebah tidak sedarkan diri. Panggilan Puan Rahimah tidak lagi bersahut. Suasana sepi.

*******

Alin terasa kepalanya berdenyut-denyut. Digagahkan juga untuk bangun namun badannya terasa lemah. Mindanya ligat berputar. Cuba mengingati apa yang telah berlaku. Kepalanya sakit tiba-tiba. Dilihat Puan Rahimah setia menemaninya di sisi.

“Dania kat mana mama? Apa yang dah berlaku?”. Mata Puan Rahimah bengkak. Lidahnya kelu. Air matanya terasa panas mengalir ke pipi.

“Kenapa mama menangis? Abang mana?”. Alin bertanya lagi. Dari tadi matanya tercari-cari kelibat Azril tapi tiada.

“Dania...Budi dah tak ada. Dia dah pergi meninggalkan kita”. Jawab Puan Rahimah. Nada suaranya berubah sedih. Tak ada? Meninggal? Alin bingung. Kepalanya terasa sakit kembali.

“Dania banyak kan bersabar ye. Budi kemalangan. Dia tak dapat diselamatkan”. Beritahu Puan Rahimah lagi. Empangan air matanya pecah jua akhirnya. Tubuh Alin dipeluk erat.

Alin tergamam. Terasa degup jantungnya seakan berhenti. Air matanya turut sama mengalir. Malah esakannya semakin jelas kedengaran. Abang...serunya di dalam hati. Hatinya dipagut rasa ngilu yang teramat sangat.

Seakan baru semalam mereka menyulam kasih. Belum pun sempat menyemai rindu, Azril pergi meninggalkannya keseorangan. Masih terasa hangatnya bisikan cinta putera idaman. Namun kuasa takdir melebihi segala-galanya. Alin redha. Walaupun hanya untuk seketika, nama Azril akan terus terpahat di dalam hatinya. Itu janjinya.

Apabila sang bayu bertiup lembut
Aku bisikkan kalimah cinta untukmu
Agar jasadmu akan terus hidup
Ditemani puisi indah dariku seikhlasnya

TAMAT

By TIRA KIRANA

Comments

Popular Posts